Sabtu, 21 November 2009

Berubah? Ok, No hal.



Saya tidak begitu pasti DUN Belaga wujud tahun berapa Cuma yang aku sedikit pasti adalah YB pertamanya adalah Tajang Laing,mengikut informasi bahawa naiknya Tajang Laing ini sebagai YB Belaga yang pertama bukanlah melalui pilihanraya, hanya empat tahun selepas itu barulah DUN Belaga terlibat secara langsung dalam pilihanraya di mana persaingan waktu itu hanya melibatkan dua orang tokoh sahaja iaitu Tajang Laing dan Nyipa Bato(maaf jika catatan ini kurang tepat)

Tetapi bukan itu maksudnya aku menulis catatan ini,yang sebetulnya aku hendak berkongsi perasaan hati ku sebagai seorang petani miskin ‘bahawa aku ingin sangat melihat bahawa di DUN Belaga ini akan terjelma persaingan sihat dan sengit antara BN dan pembangkang dalam memenangi hati rakyat jelata melalui pilihanraya’. Kerana apa yang aku lihat sekarang keadaannya adalah berat sebelah di mana BN selalu sahaja menang mudah atau pun menang selesa dan aku melihat situasi ini sangat tidak menguntungkan fizikal dan mental daerah Belaga,seolah-olah rakyat Belaga senang sangat ‘digula-gulakan’ oleh BN. Kenapa situasi ini berlaku? Bagi aku bukan disebabkan oleh kerana BN Belaga kuat dan mantap tetapi ia disebabkan oleh kerana pembangkang itu yang lemah,tidak berpadu hati dalam perjuangan dan yang sangat teruk adalah pembangkang di Belaga adalah bermusim dalam erti kata lain pembangkang hanya muncul hanya apabila pilihanraya hendak dilangsungkan oleh itu segala isu-isu yang dibawa oleh mereka tidak menawan hati pengundi keseluruhannya lebih-lebih lagi generasi tua yang kesetiaan mereka kepada BN sangat sukar diganggu gugat oleh isu-isu semasa yang melanda Belaga biar pun pada dasarnya sedikit sebanyak isu-isu yang dilontarkan oleh pembangkang itu adalah masalah yang realiti yang terpaksa didepani oleh penduduk Belaga saban waktu.

Saudara yang tercinta dalam www.belagakini.wordpress.com mencadangkan supaya pengundi Belaga mengubah cara mereka berpolitik dan saya bersetuju tetapi pemain-pemain utama pihak pembangkang Belaga mestilah terlebih dahulu mempunyai azam dan kesabaran yang tinggi dalam melayani karenah para pengundi yang pelbagai. Barack Obama dalam bukunya Keberanian Menggapai Harapan(The Audacity Of Hope) menulis bahawa, cita-cita sahaja tidak memadai.Tidak kira apa jua niat yang mendorong kita kea rah matlamat untuk menjadi senator,sama ada niat yang murni atau sebaliknya,mereka yang berjaya mesti menunjukkan keazaman yang sangat tinggi,hinggakan mereka sering mengabaikan kesihatan,hubungan,keseimbangan mental,bahkan maruah mereka.Saya masih ingat lagi,setelah kempen pendahuluan berakhir,saya melihat jadual dan menyedari bahawa dalam tempoh satu setengah tahun saya bercuti sebanyak tujuh hari sahaja.Dalam waktu selebihnya saya bekerja 12 hingga 16 jam sehari’.Dan dalam persaingannya dengan encik Hull,apabila para penyokongnya sudah resah apabila melihat kemaraan pasukan Hull,Obama pun berkata ‘kita hanya perlu bersabar sedikit’.
Dalam konteks Belaga dengan kedudukan kampung yang bertaburan serata pelusuk sambil jaraknya pula jauh-jauh,dengan terhadnya teknologi komunikasi,dengan terbatasnya sistem perhubungan/pengangkutan ke satu-satu tempat itu selain terpaksa bersabar dengan ‘perang psikologi’ mainan BN dan konco-konconya pihak pembangkang juga mestilah mempunyai keazaman yang tinggi dan sangat-sangat dapat bersabar dengan kami-rakyat jelata ini.Pertama-tama, kami sudah selesa dengan BN dan keduanya pula majoriti kami ini adalah para petani versi lama yang juga bermaksud ‘kami tidak sekolah tinggi’.Bila kami tidak sekolah tinggi sudah tentu kami memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan yang berterusan dari pihak anda(pembangkang) contohnya bagaimana kami cuba melihat sesuatu isu itu dari perspektif yang berbeza, ‘HANYA BN SAHAJA YANG BOLEH MEMBELA NASIB KAMI ORANG MISKIN INI’ jadi kamu orang teranglah dengan penuh azam dan sabar untuk kami bahawa kata-kata itu hanyalah ‘perangkap psikologi BN’.
Seperti yang pernah saya cadangkan adalah,biarlah kalah sebanyak 10 kali tetapi pada cubaan ke 11 pembangkang akan menang.Makanya untuk mengubah mentaliti para pengundi Belaga ada baiknya ia dilakukan secara evolusi bukan cara revolusi.

Shad Helmstetter,Ph.D pernah menulis,
Bayangkan untuk seketika sebuah ‘bilik mental’- tempat di mana anda tinggal dengan pemikiran anda.bilik mental ini dilengkapi dengan segala-galanya yang anda fikirkan tentang diri anda dan dunia di sekeliling anda;ia dilengakapi dengan pemikiran anda.Kebanyakan perabot mental dalam bilik mental ini ialah perabot yang ‘diwarisi’.ia adalah pemikiran negative yang lama yang diperturunkan kepada kita oleh ibubapa,kawan-kawan,guru-guru dan sesiapa sahaja yang telah membantu kita memprogramkan minda kita.Mereka telah memberi kita perabot yang kita simpan dan kita gunakan dalam bilik mental kita.

Bayangkan bahawa kebanyakan daripada ‘perabot’ tersebut(minda) telah usang dimakan usia oleh kerana ia adalah perabot yang diwarisi.Sofa lama yang koyak rabak itu telah lusuh dan merebeh.Kerusinya patah dan bergoyang-goyang,menunggu masa untuk patah jika diduduki dengan terlalu berat.Gambar-gambar yang tergantung senget di dinding telah bertukar kuning dan kabur.Meja dapurnya menyenget kea rah satu sudut,pinggan mangkuknya sumbing dan retak,tiadak satu pun cawan yang bertangkai kerana telah lama patah.Lingkaran-lingkaran spring tilam tersembul,berkarat dan bengkok.Hamparan yang terbentang di atas lantai tidak lagi kelihatan seperti hamparan dek dipenuhi oleh tampalan dan lubang.Di dalam kelengakapan perabot sebegini,satu perabot baru lagi teguh(sedikit pemikiran positif/baru) akan kelihatan janggal,tetapi jika ada pun perabot baru di sana-sini ia juga tidak akan terserlah kerana ditutupi oleh perabot-perabot lama yang berselerakan itu.Maka dipendekkan cerita;

Dr Shad juga mencadangkan supaya kita gambarkan satu peristiwa di mana kita membuang semua perabot lama,perabot lama dalam erti kata lain adalah ‘minda/pemikiran lama’.Jadi kita pun mula membuang meja,sofa,katil dan kerusi dan sebagainya,akhirnya semua minda/pemikiran lama kita telah pun dibuang tinggal kini adalah sebuah rumah atau pun ruang tamu yang bersih tetapi kosong.Mulanya kita sangat gembira kerana kita telah berjaya membuang perabot rumah yang memang pun telah layak menjadi penghuni stor belakang rumah,tetapi beberapa jam berlalu kita berasa sunyi dan tidak tahu apa benda yang mauk dibuat akhirnya kita kembali semula ke stor,mula-mula kita ambil kerusi dan tidak lama kemudian kita membawa meja pula masuk untuk duduk sambil membaca buku dan seterus-seterusnya.Selesakan?

Begitulah Dr Shad mencadangkan bagaimana proses yang biasa dilalui oleh majoriti penduduk dalam usaha mereka hendak mengubah mentaliti mereka.Sebagaimana kita membawa masuk perabot lama seperti kerusi dan meja tadi ke rumah/ruang tamu kita maka begitulah gambarannya apabila kita kembali membawa masuk minda lama kita ke dalam kepala otak kita.Akhirnya kita kembali seperti dahulu juga.
Sepatutnya apabila kita mula membuangkan semua perabot lama rumah kita,perkara yang perlu kita buat adalah dengan membeli perabot baru sebagai ganti kepada perabot lama dalam erti kata lain apabila kita hendak berubah dan mengubah mentaliti orang lain sepatutnya kita terlebih dahulu mesti menyediakan ‘ramuan’ yang cukup ampuh untuk memastikan bahawa perubahan itu adalah kekal selamanya.
Secara ringkasnya minda rakyat Belaga telah dijajah melebihi 40 tahun sudah oleh BN,jadi sekiranya pembangkang hendak mengubah dan mengajak rakyat Belaga berubah hanya semalaman sahaja tentulah tidak boleh dan sangat-sangat mustahil,kerana itu,keazaman dan kesabaran yang tinggi sangat-sangat dituntut.

Ah! Menuturkan perkataan ‘berubah’ itu memang gampang tetapi untuk melakukannya itulah yang sulit kerana itulah aku memberitahu bahawa berubah itu memerlukan azam dan kesabaran yang tinggi.tetapi adakah benda yang sangat-sangat mustahil di dunia ini?

Bagi aku tidak ada,seperti pada Ibrani 11: 1; Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan,dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. Markus 11:22-23; Yesus menjawab, ‘percayalah kepada Tuhan maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut’ jika kamu tidak ragu-ragu tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu’.