Oleh Patricia Gari
Mereka ajar Penan menentang kerajaan dengan menyekat jalan serta mensensasi isu hidup secara nomad kaum itu
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok percaya kaum Penan tidak pernah menentang pembangunan dibawa kerajaan tetapi mereka telah dihasut oleh ‘orang luar’ agar berbuat demikian.
Menurut Lihan ‘orang luar’ terbabit mengajar kaum Penan menentang kerajaan dan salah satu caranya ialah melakukan sekatan jalan dan mensensasikan isu hidup secara nomad kaum itu demi kepentingan peribadi mereka (‘orang luar’).
Lihan berkata Penan merupakan kaum yang senang dibawa berbincang cuma disebabkan cara hidup dan budaya mereka selama ini menyebabkan Penan agak perlahan atau belum bersedia menerima perubahan yang cuba dibawa kerajaan tetapi tidak bermakna mereka menentang pembangunan.
“Sebagai wakil rakyat yang cukup mengenali kaum ini, Penan bukannya komuniti yang agresif seperti didakwa sesetengah pihak.
“Mereka mudah dibawa berbincang dan saya percaya insiden melakukan sekatan jalan bukannya idea mereka tetapi telah dihasut oleh ‘orang luar’,” ujarnya.
“Penan seperti kaum lain, mencari rezeki seperti komuniti lain, berjual di Pasar Tamu, sering bertemu dengan pegawai kerajaan dan wakil rakyat untuk mengemukakan masalah dihadapi mereka dengan baik,” tambahnya.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai ‘Program Mendekati Masyarakat’ antara dua rakan kongsi utama iaitu Samling Corporatian dan Kuching Specialist Hospital (KcSH) dengan enam syarikat akhbar tempatan di negeri ini.
Menurut Lihan tindakan membuat sekatan jalan bukan sesuatu yang baru dilakukan Penan cuma situasi tegang yang berlaku di beberapa sekatan dipercayai didalangi ‘orang luar’.
Lihan berkata ketika ini hanya terdapat tiga sekatan jalan dilakukan kaum itu iaitu di Long Belok, Long Nen dan Long Bangan (Ulu Baram) bagaimanapun beliau memberitahu sekatan itu dilakukan dengan aman.
“Saya amat kagum kerana sekatan di tiga lokasi ini dilakukan dengan tenang bukannya agresif seperti sebelum ini.
“Mereka mendengar nasihat ketua mereka ketika berbincang dengan kami (pihak kerajaan)… ini perkara yang baik dan sudah tentu sekatan itu masih di sana,” jelasnya.
Lihan berkata sekatan jalan di tiga lokasi itu katanya hanya dilakukan dengan meletakkan batang kayu merentangi jalan dan boleh dialih pada bila-bila masa walaupun hanya menggunakan kudrat manusia.
“Mereka hanya meletakkan batang kayu merentangi jalan dan ia boleh dialih bila-bila masa cuma kerana kita menghormati mereka, tidak kira sekecil mana kayu yang diletakkan kita tidak akan usik. Kita mahu masalah ini diselesaikan secara rundingan,” ujarnya.
Dalam pada itu Lihan memberitahu media bahawa rundingan pertama dengan ketua-ketua kaum Penan di kawasan terbabit bukannya gagal seperti didakwa sesetengah media.
Menurutnya rundingan tersebut belum mencapai kata sepakat dan rundingan seterusnya akan diadakan.
Beliau turut menyangkal dakwaan mengatakan ketua kaum Penan Unga Paren degil dan tidak akur dengan keputusan kerajaan sebaliknya memberitahu Paren cuma tidak datang ketika rundingan pertama diadakan antara ketua-ketua kaum Penan dan wakil kerajaan baru-baru ini.
Mengenai tuntutan kaum Penan di Ulu Baram, Lihan berkata mereka kini mahu pembangunan dari segi sumber manusia dan sosioekonomi lain seperti projek penanaman getah, pokok buah-buahan dan sebagainya.
“Mereka juga mahukan sebidang tanah serta hak yang sama seperti kaum lain…kita tidak boleh memberi mereka tanah selagi mereka masih terus tinggal secara berpindah-randah.
“Kita ada undang-undang dan setiap yang dibuat harus berdasarkan undang-undang sedia ada tetapi tidak bermakna kita (kerajaan) berputus asa untuk membantu mereka sebaliknya bersabar sehingga mereka sudah bersedia menerima pembangunan kerana kita tidak mahu mereka terus tinggal terpinggir di dalam hutan,” ujar Lihan.
apa aku nak kata?
Adakah kenyataan artikel di atas benar,salah atau 50-50? bagi aku 50-50 lah dan boleh dipertikaikan hehe..dalam masa yang sama kesimpulan aku adalah:
a) adakah ini caranya pemimpin/YB Orang Ulu apabila setiap kali masalah 'meletup' selalu menuduh orang lain puncanya masalah? tidakkah mereka sedetik terfikir yang punca masalah itu mungkin berpunca daripada diri mereka sendiri,sempurna sangatkah YB/pemimpin kita sehingga mereka tidak pernah 'tersilap langkah?'. Jadi aku rasa mungkin juga masalah ini lahir daripada kelalaian YB(Orang Ulu) itu sendiri.
b) masih adil dan masih relevenkah undang tanah Sarawak hingga ke hari ini? Apa nasib Orang Ulu(Sg Asap/Koyan) dan apa nasib kawan2 Penan kita ini? adakah apabila mereka lakukan sekatan jalan balak/demonstrasi maka kita mesti menuduh mereka 'mereka telah dihasut orang luar'. Bagi aku kadang2 ayat ini seolah-olah menghina kawan2 Penan kita,seolah-olah kehidupan mereka mestilah ditentu arahkan oleh YB2 kita,sedangkan siapa kita yang hendak menghalang kawan2 Penan kita berinteraksi dengan dunia luar? tidak semestinya apa sahaja yang datang dari YB kita/BN adalah bagus dan membantu kemajuan hidup dan tidak semestinya apa yang hadir dari kemajuan luar itu adalah buruk/tidak baik. Adakah apabila Orang Ulu(Asap/Koyan) anjurkan demonstrasi supaya YB Belaga beri perhatian dan repair jalan di Asap/Koyan maka demonstrasi itu adalah dirancang oleh orang luar,bagi aku jika YB Belaga mengeluarkan kenyataan begitu maka dia telah menghina cerdik pandai Orang Ulu(Asap/Koyan) aku tau dah ramai Orang Ulu(Asap/Koyan) yang staring minda mereka manakala kawan2 Penan kita pun saya percaya mereka pun sudah ada yang staring minda di kalangan mereka.
c) tetapi jika pun demonstrasi/halang jalan itu dihasut oleh orang luar apa yang YB boleh buat? dah YB jarang2 balik kawasan,dah undang2 tanah(NCR) tidak memihak kepada Orang Ulu? sepatutnya YB2 Orang Ulu mestilah bersyukur kerana ada orang luar yang menghasut Orang luar agar sedar akan Hak-hak mereka sebagai Orang Asal di bumi Sarawak yang Bertuah ini dan untuk itu selalu-selalulah balik kawasan YB(bukan untuk YB Baram sahaja tetapi untuk 2 orang YB Orang Ulu di daerah Belaga/Kapit juga)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan